Thursday, December 3, 2015

SESI LAWATAN KE KAMPUNG SG LALANG BARU

PENGENALAN Kami telah diberi tugasan untuk menyediakan satu projek penilisan secara berkumpulan tentang kajian bertemakan etnik minoriti iaitu sumbangan perhubungan etnik di Malaysia. Di dalam projek ini, kami memilih Suku Kaum Temuan sebagai etnik kajian kami. Tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk mengenal pasti latar belakang, budaya dan juga sumbangan suku kaum Temuan dari segi ekonomi dan lain-lain. Oleh itu, kami telah memilih suku kaum Temuan dari Kg Sg. Lalang, Semenyih untuk mendapatkan dapatan kajian kami. Suku kaum Temuan merupakan suku orang asli dari puak Melayu-Proto yang tinggal di Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang. Suku kaum Temuan merupakan antara suku kaum yang terbesar di kalangan suku kaum asli. Mereka bertutur dalam dialek Melayu Asli yang berasal dari Jambi di Selatan Sumatera dan corak hidup seharian mereka memepunyai persamaan dengan masyarakat Melayu. Tambahan pula, genetik mereka dikatakan hasil cantuman daripada beberapa suku kaum asli dengan penduduk migrain daripada sumatera dan jawa. Suku kaum Temuan mempunyai ciri-ciri fizikal seperti berambut ikal mayang, berkulit cerah, mempunyai badan yang sederhana tegap bagi lelaki, berhidung lebar dan mempunyai rupa paras yang mirip seperti orang melayu. Secara tradisinya, mereka menjalankan kegiatan memburu dan menangkap ikan di samping mengumpul hasil-hasil hutan. Mereka menjalankan kerja-kerja pengutipan hasil-hasil hutan seperti mengumpul rotan, buluh, damar dan kayu api. Namun, kegiatan tradisi yang disebutkan tadi tidak lagi diaplikasikan sebagai kegiatan utama mereka memandangkan ramai di antara mereka sudah bekerja di luar sebagai penjaga keselamatan, pekerja kilang dan lain-lain. Sebahagian mereka hanya mengutip hasil sayur seperti pucuk ubi untuk dijual di tepi jalan.
PENDAHULUAN Kami memilih Suku Kaum Temuan sebagai etnik kajian kami. Suku Kaum Temuan ialah merupakan Orang Asli dari puak Melayu-Proto yang tinggal di Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang. Suku Kaum Temuan merupakan antara suku kaum yang terbesar di kalangan Suku Kaum Asli. Mereka bertutur di dalam dialek Melayu Asli yang berasal dari Jambi di Selatan Sumatera dan corak hidup seharian mereka mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu. Genetik mereka dikatakan hasil cantuman beberapa Suku Kaum Asli dengan penduduk migran daripada Sumatera dan Jawa. Ahli kumpulan kami terdiri daripada lapan orang yang berbeza bidang pengajian. Kami telah merangka kajian terlebih dahulu sebelum menjalankan sesi temubual. Rancangan kajian tersebut mempunyai objektif kajian, metodologi atau kaedah kajian untuk mendapatkan maklumat dan tempat- tempat kajian. Kajian ini juga dibuat untuk mendekati atau menyedari kewujudan masyarakat etnik minoriti di Malaysia beserta sumbangan yang telah dilakukan tanpa kita sedari. Di samping itu, kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah kami kerana memberi ruang dan peluang untuk melaksanakan kajian ini. Selain itu, tidak lupa juga kepada beberapa pihak yang terlibat sepanjang kami menjalankan kajian ini dari awal sehingga akhir.
OBJEKTIF KAJIAN Objektif atau tujuan kami menjalankan kajian ini adalah untuk mengkaji atau mempelajari budaya- budaya etnik minoriti di Malaysia khususnya etnik Temuan. Kajian ini juga bertujuan untuk melihat amalan- amalan khusus mengenai etnik tersebut. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai ahan nilai- nilai budaya, aktiviti sosial, aktiviti ekonomi, agama dianuti etnik Temuan. Seterusnya, kajian ini juga memfokuskan perubahan- perubahan yang telah berlaku dalam kalangan etnik Temuan seperti aktiviti ekonomi juga sosial. Perubahan yang dialami itu adalah perbezaan antara zaman dahulu dan kini. Akhir sekali, objektif khusus kajian ini adalah untuk melihat atau mengkaji apakah sumbangan etnik Temuan ini kepada pembangunan ekonomi di Malaysia dalam sesuatu aspek dan sejauh manakah sumbangan tersebut.
KAEDAH KAJIAN Kaedah temubual ini telah dijalankan ke atas Tok Batin Kampung Sungai Lalang Baru, Semenyih Selangor Darul Ehsan. Melalui kaedah ini, maklumat yang diberikan bersumberkan daripada Tok Batin berkenaan. Kaedah temu bual ini dijalankan dengan sesi soal jawab daripada kumpulan pengkaji iaitu kami sendiri yang merangkumi keempat-empat aspek kajian iaitu perkahwinan , kehidupan sosial , ekonomi, pakaian dan makanan. Kaedah tinjauan dan pengamatan ini digunakan bagi mengesahkan adaptasi budaya temuan dalam yang merupakan budaya minority di Malaysia ini. Kaedah ini juga bertindak bagi menilai sejauh mana kajian yang dijalankan menunjukkan hasil dan keberkesanannya. Kaedah tinjauan dan pengamatan ini dijalankan di sekitar Kampung Sungai Lalang Baru, Semenyih Selangor. Selain itu, kaedah ini turut melihat kehidupan sosial masyarakat setempat untuk menguatkan lagi hipotesis terhadap autoriti kajian. Kaedah rujukan dan orang sumber pula dijalankan bertujuan bagi mendapatkan fakta – fakta material dan sumber – sumber autoritatif. Kaedah ini dirujuk kepada individu perseorangan yang mempunyai penglibatan secara langsung dalam kajian ini. Antara pihak yang terlibat dalam kaedah ini ialah Tok Batin, ,penduduk sekitar kawasan kampung, rakan-rakan dan Pensyarah Subejek Hubungan Etnik serta sumber-sumber yang membantu secara tidak langsung.
HASIL KAJIAN 1. Kajian Lepas Menurut kajian melalui jurnal (2010) yang dihasilkan oleh Er Ah Choy, Zalina Che Mat Ariffin dan Joy Jacqueline Pereira menunjukkan kajian mengenai sosioekonomi masyarakat Orang Asli suku kaum Temuan. Kajian ini menceritakan mengenai kegiatan ekonomi masyarakat Temuan di Kampung Orang Asli Bukit Lagong, Selangor. Pengkajian mengenai orang asli ini sudah bermula semenjak abad ke-19 di mana masyarakat orang asli menjad tumpuan para pengkaji untuk mengkaji mengenai sosioekonomi masyarakat suku kaum Temuan. Dalam kajian ini mendapati cara hidup masyarakat Orang Asli dianggap “primitif’(kuno) dengan ekonomi dan tidak melibatkan ekonomi pasaran masa kini. Mereka menggunakan pendekatan-pendekatan tradisional dalam apa juga aktiviti yang mereka jalankan. Manakala menurut kajian Gomes (1987), aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan oleh semua masyarakat Orang Asli adalah lebih kurang sama dan beliau telah mengkategorikan aktiviti pengekonomian Orang Asli ini kepada dua, iaitu aktiviti ekonomi yang bertujuan untuk mendapatkan wang seperti menoreh getah, mencari rotan dan mencari kayu gaharu serta ekonomi yang bertujuan untuk sara diri seperti memancing, memburu binatang dan pertanian. Selain daripada itu, Melalui kajian lepas, (Hanina H.Hamsan dan Asnarulkhadi Abu Samah, 2008) menerangkan bahawa dalam bidang perubatan herba, memang tidak dinafikan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai kepakaran mereka sendiri dalam menggunakan tumbuhan sebagai ubatan tradisional disamping menjadikan herba sebagai sumber utama mereka untuk merawat penyakit. masyarakat Orang Asli Temuan sangat terkenal dengan perubatan tradisional dimana dipercayai dapat mengubati penyakit seperti demam panas, cirit-birit, darah beku, penyakit pinggang dan lain-lain lagi. Ubat-ubatan tradisional ini dihasilkan dengan menggunakan sumber-sumber hutan yang diperoleh seperti tongkat ali, akar kayu dan sebagainya. Masyarakat Orang Asli masih lagi menggunakan perubatan tradisional kerana mereka masih berpegang kuat kepada nilai dan kepercayaan tentang alam sekeliling. Perubatan Orang Asli adalah berdasarkan hubungan manusia dengan alam sekelilingnya.
2. DAPATAN KAJIAN LATAR BELAKANG ETNIK TEMUAN Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci berkenaan suku kaum Asli Temuan ini, kami telah pergi ke Sungai Lalang, Semenyih bagi menemubual tok batin suku kaum asli Temuan. Hasil dapatan mendapati penempatan bagi suku kaum Asli Temuan telah wujud sejak tahun 1984 yang terdiri daripada 130 keluarga yang beranggaran sebanyak 500 hingga 600 penduduk sehingga kini. Penduduk kampung tersebut majoritinya terdiri daripada suku kaum asli temuan sendiri dan selebihnya daripada suku kaum Asli Semelai. Tetapi, akibat perkahwinan campur masyarakat Temuan terdapat beberapa masyarakat melayu yang turut menetap di kampung tersebut. Pada asalnya, masyarakat orang asli hidup secara berpindah-randah dan tiada penempatan kekal. Rumah mereka diperbuat berasaskan buluh, daun bertam, nipah dan rotan. Tapi semasa melawat penempatan suku kaum Asli Temuan, apa yang kami perhatikan rata-rata rumah di kampung tersebut di perbuat menggunakan batu. Menurut tok batin Aleh, rumah-rumah tersebut adalah hasil daripada bantuan kerajaan.
KEDUDUKAN ORGANISASI Seperti rajah di atas, ketua bagi masyarakat Asli di panggil Batin yang mana tugas-tugas utamanya adalah untuk menjaga penduduk Asli di kawasan tersebut. Pelantikan untuk jawatan ini adalah berdasarkan keturunan, yang mana ianya diwarisi secara turun-menurun. Seandainya seseorang Batin itu telah uzur ataupun meninggal dunia, anak lelaki secara rasminya akan dilantik untuk menyambung tugas-tugas dalam menjaga penduduk. Suatu upacara rasmi akan di buat yang menandakan pertukaran Batin. Di bawah Batin, ada beberapa lagi jawatan seperti menteri yang merupakan penasihat utama kepada Batin, juru kerah dan tok jenang. Sesungguhnya menteri mempunyai kuasa dalam adat istiadat dan pantang larang dalam masyarakat Temuan. Namun begitu, beliau tiada hak untuk menjatuhkan sebarang hukuman. Seterusnya, pemangku merupakan suatu jawatan yang di warisi dan dilantik oleh Batin sendiri dimana mereka berhak untuk menjatuhkan sebarang hukuman kepada anak buahnya. Tok Jenang ialah Ketua Lembaga Adat dan mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman. Jurukerah pula dilantik dengan mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Keistimewaan beliau adalah beliau boleh menjatuhkan hukuman yang ringan dan menjadi wali iaitu Jurunikah di dalam istiadat perkahwinan. Jawatan Panglima pula dilantik oleh batin sendiri setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Peranan beliau ialah menjaga dan mengurus kebajikan anak-anak buahnya.
KEPERCAYAAN Pada asalnya, suku kaum Asli Temuan mengamalkan kepercayaan nenek moyang di mana mereka mengamalkan kepercayaan animisme di mana mereka tidak menganuti mana-mana agama. Mereka lebih mempercayai kepada semangat alam seperti kubur, pokok dan sebagainya. Namun begitu, terdapat kira-kira 40 orang penduduk Asli Temuan yang menganuti agama islam termasuk tok batin sendiri di mana beliau memeluk agama islam semenjak tahun 1984 lagi. Tetapi, majoriti penduduk di sana masih mengamalkan kepercayaan nenek moyang mereka.
PERAYAAN Perayaan nenek moyang merupakan perayaan terpenting bagi suku kaum Asli Temuan yang masih mengamalkan animisme. Perayaan ini akan disambut pada setiap 31 Disember saban tahun. Pada hari tersebut, mereka akan berkumpul beramai-ramai di kawasan lapang bagi meraikan tahun baru yang akan bermula. Dalam perayaan tersebut, suku kaum Asli Temuan akan mengadakan tarian sewang dan diikuti dengan alunan muzik. Tarian sewang merupakan tarian tradisi suku kaum Asli Temuan di mana, penari-penari akan memakai pakaiaan tradisi yang diperbuat daripada kulit kayu bagi persalinan lelaki, manakala bagi perempuan pula mereka akan mengenakan pakaian yang di perbuat daripada daun nipah atau mengkuang serta perhiasan daun kelapa yang dianyam untuk dijadikan selempang yang dililit di pinggang, kepala dan dada. Menurut Tok Batin, tarian sewang merupakan tarian yang boleh menyembuhkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan roh-roh si mati. Namun kini, sewang lebih dikenali sebagai acara bersuka-ria bagi menyambut tetamu dan sebagainya.
BUDAYA Seperti etnik majoriti yang lain, suku kaum Asli Temuan juga turut memiliki budaya dan tradisi tersendiri seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Umum mengetahui dahulunya, masyrakat asli menggunakan pakaian harian yang diperbuat daripada hasil hutan seperti kulit kayu, daun nipah dan sebagainya. Namun kini, sejajar dengan peredaran zaman, suku kaum Asli Temuan menggenakan pakaian harian seperti yang di pakai oleh masyarakat lain dan hanya menggunakan pakaian tradisi pada hari-hari istimewa sahaja. Seterusnya, jika kita lihat dari aspek makanan pula. Makanan suku kaum Asli Temuan adalah sama dengan suku kaum asli yang lain. Hal ini disebabkan oleh faktor penempatan masyarakat Asli itu sendiri yang tinggal di kawasan hutan dan persekitaran semulajadi yang memudahkan mereka untuk mencari sumber makanan seperti ubi kayu, binatang buruan, ulam-ulaman, herba dan lain-lain. Apa yang uniknya, mereka akan masak makanan-makanan tersebut di dalam buluh dan membakarnya. Buluh yang berbeza akan digunakan untuk setiap jenis makanan. Misalnya, ada buluh yang digunakan untuk ubi kayu, buluh untuk memasak binatang buruan dan sebagainya.
PERUBATAN Orang Asli Temuan juga pandai dalam bidang perubatan tradisional. Ramai juga orang dari bandar yang menggunakan perkhidmatan daripada Orang Asli untuk mengubati penyakit dan juga masalah-masalah mereka. Antara penyakit yang boleh diubati oleh bomoh Orang Asli Temuan ialah demam panas, cirit-birit, darah beku, penyakit pinggang dan lain-lain lagi. Ramai juga orang dari bandar yang mengunakan khidmat "Minyak Pengasih" daripada bomoh Orang Asli."Minyak Pengasih" ini merupakan jualan yang terlaris dan nombor satu dalam perkhidmatan dari bomoh Orang Asli. Kegunaan minyak ini adalah untuk mengembalikan orang yang tersayang kepada pangkuan anda. Kebiasaannya, menurut Tok Batin, pada zaman dahulu, orang akan menemui ayahnya untuk berubat melalui jampi seperti sakit akibat terkena sihir dan sebagainya. Namun, pada masa ini, Tok Batin memberitahu kepada kami bahawa dia tidak pandai untuk mengubati orang kerana ilmu perubatan tidak diturunkan oleh ayahnya kepada anak-anak mereka. Masyarakat asli semakin maju, oleh itu masyarakat asli akan pergi ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan penyakit yang dialami oleh mereka
EKONOMI Menurut Tok Batin, secara tradisinya, masyarakat Orang Asli hanya bergantung kepada hasil laut. Selain itu juga, bagi mencari makanan untuk kehidupan seharian, Orang Asli sentiasa berpindah-randah. Ada juga di kalangan masyarakat Orang Asli menyara keluarga dengan bercucuk tanam dan mencari hasil hutan seperti rotan dan damar untuk dijual di samping menangkap ikan, memburu binatang dan berladang dengan menanam padi huma, jagung dan ubi. Walau bagaimanapun, perubahan dalam sosioekonomi telah merubah cara hidup mereka. Semenjak kerajaan memberi penumpuan pembangunan kepada rakyat, kini Orang Asli sudah ada kampung halaman mereka untuk mengubah cara kehidupan mereka agar setanding dengan masyarakat umum. Kerajaan biasanya memberikan bantuan dari segi kewangan kepada mereka. Kebanyakan Orang Asli kini mampu membina rumah-rumah batu yang lebih selesa berbanding sebelum ini rumah mereka hanyalah rumah papan dan berbumbungkan atap nipah sahaja. Memang tidak dinafikan rumah yang berbentuk seperti bangsal berasakan kayu dan buluh masih ada tetapi sedikit sahaja. Ia juga telah dilengkapi dengan kemudahan bekalan eletrik, bekalan air dan lain-lain prasarana seperti balai raya dan Pusat Bimbingan Kanak-kanak. Selain itu, ramai Orang Asli kini terutama golongan muda telah berhijrah ke luar seperti ke Kuala Lumpur dan bekerja di kilang.
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN Membaik pulih dan menaik taraf terutamanya kemudahan jalan raya, penginapan dan telekomunikasi. Keadaan jalan utama kenderaan di kawasan-kawasan bukit di kawasan perumahan Kampung Sungai Lalang, Semenyih agak tidak selamat sehingga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Pihak yang bertanggungjawab yang mempunyai kewangan yang kukuh serta memiliki kepelbagaian sumber dan perlu mengambil tindakan untuk membaiki jalan raya supaya mudah untuk digunakan. Selain itu, majoriti Suku kaum Asli Temuan ini masih lagi berada dalam kepompong masyarakat kurang berpendidikan. Hanya 3 orang dari penduduk Suku Kaum Temuan di kawasan kajian ini berjaya melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan swasta. Usaha untuk memajukan Orang Asli dalam pendidikan perlu dilestarikan dan ditingkatkan. Pendidikan merupakan senjata utama dalam memajukan sesuatu kaum pada masa kini. Anak−anak orang asli yang berjaya harus dijadikan contoh teladan dan dipraktikkan kepada semua anak-anak Orang Asli bagi meningkatkan pencapaian pendidikan mereka. Pelbagai pihak harus bekerjasama dalam mengatasi masalah dan cabaran ini untuk memastikan pencapaian prestasi dan pembangunan pendidikan anak-anak Kaum Asli Temuan dan kaum-kaum asli lain terus meningkat dan setanding dengan kaum−kaum lain di Malaysia. Seterusnya, mempertingkatkan pengetahuan tentang budaya masyarakat OrangAsli Kewujudan masyarakat Orang Asli ini perlu diketahui umum kerana masih ramai lagi yang kurang senang mendekati mereka. Budaya dan tradisi mereka mungkin agak berbeza namun ianya begitu unik. Malah melalui tugasan seperti inilah kami dapat mengenali dengan lebih mendalam dan melihat sendiri kehidupan Orang Asli khususnya masyarakat Orang Asli Temuan. Penting untuk kita menerokai dan memahami mereka kerana mereka juga sebahagian dari populasi rakyat di negara ini. Kita tidak boleh memandang sesuatu kaum itu berdasarkan kelainan agama, budaya dan tradisi dengan pandangan negatif sahaja tetapi perlu diingatkan bahawa kepelbagaian inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk kerana mampu mengekalkan kemakmuran dan kesejahteraan walaupun berbilang kaum.
RUMUSAN Rumusan daripada hasil kajian ini adalah kami mendapati bahawa orang asli suku kaum Temuan mempunyai semangat kerja yang kuat serta sikap rajin yang tinggi memandangkan ramai di anatara mereka sudah berdikari untuk mencari pekerjaan yang lebih baik berbanding kegiatan tradisi seperti berburu di hutan seiring dengan kemajuan ekonomi negara. Walaupun mereka terdiri daripada suku kaum Temuan, namun terdapat segelintir masyarakat melayu dan suku kaum lain yang tinggal di Kampung Sg. Lalang itu. Mereka tinggal dalam keadaan yang harmoni tanpa sebarang pepecahan mahupun pergaduhan kaum walaupum berlainan agama dan suku. Ini membuktikan bahawa mereka mengamalkan sikap perpaduan antara suku kaum dan amalan bersatu. Kehidupan mereka juga seperti kehidupan masyarakat melayu dimana mereka mengamalkan konsep saling tolong menolong. Contohnya, mereka mengamalkan sikap saling tolong menolong sewaktu musim perayaan. Mereka akan berkumpul dan bergotong royong untuk menyediakan juadah makanan untuk dihidangkan. Amalan ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa mereka hidup dalam keadaan masyarakat yang harmoni walaupun mereka hanya etnik minoriti di negara ini. Selain itu, mereka turut bergaul atau mencampuri pergaulan masyarakat Melayu di sekitar kawasan tersebut. Contohnya, dalam sambutan raya Aidiladha, suku kaum asli yang beragama Islam turut tidak lepas tangan untuk saling membantu melapah daging lembu. Percampuran dengan masyrakat melayu ini membuktikan bahawa suku kaum Temuan ini diterima dalam masyarakat Melayu. Sikap rasisme diketepikan bagi mencapai hubungan persahabatan yang baik walaupun berebeza budaya dan suku kaum. Kesimpulannya, budaya suku kaum orang asli Temuan sudah mula diterima oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini. Hubungan masyarakat bersama kaum lain turut menggambarkan bahawa mereka adalah suku kaum yang sangat mementingkan nilai-nilai kesepaduan yang tinggi. Sikap saling menghormati budaya, bahasa dan agama turut diamalkan walaupun mereka tinggal di penempatan yang mempunyai suku kaum yang berbeza.

1 comment:

  1. salam.. tuan minta izin untuk saya menjadikan artikel2 ni sebagai panduan saya serba sedikit

    ReplyDelete